Jumaat, 23 November- Universiti Malaysia Sabah (UMS)
terus mengukir sejarah apabila buat julung kalinya Majlis Pelancaran Pasukan
Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Laut UMS diadakan pada hari ini bertempat di
Dataran Dewan Canselor.
Majlis yang penuh istiadat itu telah disempurnakan oleh Timbalan
Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin. Hadir sama
Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Muda Dato' Pahlawan Mohammad Rosland Omar,
Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Abdul Rahman Ayob, Naib
Canselor UMS, Kept. (K) Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dan Pegawai-pegawai
Utama UMS.
Berucap ketika merasmikan majlis itu, Datuk Mohammed Nordin
berkata, penubuhan PALAPES Laut adalah berdasarkan kepada kesedaran dan
kepercayaan bahawa para mahasiswa yang berkelayakan boleh dijana menjadi sumber
utama modal insan yang bukan sahaja berkelulusan akademik tetapi boleh
menyumbang kepada mana-mana organisasi sebagai seorang anggota yang
berdisiplin, patriotik dan mempunyai kemahiran yang pelbagai.
Tambah beliau, PALAPES Laut juga merupakan medan para siswa siswi
untuk melibatkan diri dalam akativiti ketenteraan selepas tamat pengajian
sebagai pegawai di dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Di-Raja
Malaysia (TLDM) sekaligus melahirkan pemimpin yang serba boleh dengan tahap
disiplin, kemaihran insaniah dan sikap bertanggungjawab yang tinggi.
“Sebagai sebuah negara Maritim, program ini dilihat sebagai satu
platform dalam meneyebarluaskan budaya dan disiplin maritim dalam kalangan
masyarakat setempat. Dalam masa yang sama, PALAPES Laut mampu melahirkan
pasukan simpanan yang terdiri daripada pegawai muda terlatih bagi TLDM untuk
dikerah dalam keadaan darurat atau diwaktu memerlukan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Datuk Dr. Mohd Harun dalam ucapan aluannya
berkata, penubuhan PALAPES Laut UMS merupakan satu amanah dan tanggungjawab
yang harus dipikul bersama oleh seluruh warga UMS terutama yang melibatkan
kakitangan akademik dan para penyelidik.
Menurutnya, penubuhan pasukan beruniform itu boleh dijadikan
perkongsian strategik untuk memperkasakan lagi fungsi dan peranan UMS dan TLDM
demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Kerjasama dan perpaduan ini perlu diterjemahkan ke dalam bentuk
pelan tindakan seperti guna sama kemudahan dan tenaga mahir. Ia harus
melangkaui peranan dan fungsi penubuhan UMS yang boleh dimainkan oleh setiap
Jabatan, Sekolah, Pusat, Institut dan Unit di dalamnya.”
“Kerjasama strategik ini harus diperluaskan konteksnya meliputi
pelbagai bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi. Sebagai contoh Sistem
Hyperbaric Recompression Chamber yang dimiliki oleh TLDM boleh digunakan dalam
pelbagai bidang penyelidikan. Antaranya seperti bidang perubatan, fisiologi,
kesihatan dan kecergasan, psikologi dan lain-lain lagi. Hasil penyelidikan yang
dijalankan bersama diyakini akan memberi manfaat kepada aspek pembangunan modal
insan TLDM dan masyarakat umum secara keseluruhannya,” katanya.
Majlis itu turut diserikan lagi dengan persembahan mantap pasukan
kawad senyap daripada Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Tawau.