Kota Kinabalu, 22 Sep – Setiap minggu aktiviti
dan latihan untuk Pegawai Kadet (PK) PALAPES-Laut, UMS telah dirancang oleh KD
SRI LIKAS (KDSL) dibawah pemerintahan Leftenan Mohd Hanif bin Husain TLDM.
Aktiviti berkayak dan pengenalan asas perahu layar telah diadakan di Pusat
Kecemerlangan Perahu Layar, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PKPL PTKK) bagi
memenuhi pembelajaran PK PALAPES-Laut, UMS.
Seawal pagi, sebelum aktiviti berkayak
dimulakan, sesi pemanasan dan regangan telah dikendalikan oleh PK Mathew Madau
Anak Yok yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, UMS. Sesi
pemanasan ini bertujuan untuk mengelak dari timbulnya masalah kecederaan
sepanjang aktiviti berkayak.

Seramai 27 orang PK PALAPES-Laut, UMS telah
menyertai aktiviti berkayak di bawah pengendalian jurulatih dan staf PKPL yang
diketuai oleh BM TLR Mohamad Mostamam bin Ismail. Aktiviti ini turut disertai
oleh Pegawai Memerintah KDSL serta pegawai dan anggota Pasukan Simpanan
Sukarela TLDM (PSSTLDM). Sepanjang aktiviti berkayak dijalankan, mereka dapat
mempelajari teknik-teknik berkayak yang betul, peraturan-peraturan semasa
berkayak serta cara-cara menyelamat sekiranya berlaku perkara yang tidak
diingini. Aktiviti ini juga mengajar semangat kerja berpasukan dalam satu
kumpulan.
Di samping melakukan aktiviti berkayak, semua
yang terlibat di dalam aktiviti ini telah mendarat di Pulau Peduk, yang berada
bersebelahan dengan PKPL, bagi melakukan pembersihan di sekitar pulau tersebut.
Selepas aktiviti berkayak, PK PALAPES-Laut,
UMS mempelajari pula teknik water confident. Objektif utama aktiviti ini adalah
untuk menguji tahap keyakinan semasa berada di laut. Aktiviti ini sebagai
persediaan untuk menghadapi pelajaran pengendalian perahu layar yang diadakan
pada sebelah petang.
Pada sebelah petang, aktiviti PK PALAPES-Laut,
UMS diteruskan dengan mempelajari teori asas pengendalian perahu layar yang
telah dikendalikan ketua jurulatih PKPL, BM TLR Mohamad Mostamam bin Ismail
dengan bantuan semua staf PKPL. PK telah diajar teori asas pengendalian perahu
layar, bahagian-bahagian perahu layar dan persediaan sebelum mengendalikan
perahu layar. Segala pelajaran asas pengendalian perahu layar amat penting
serta perlu difahami dengan lebih mendalam sebelum mereka dibenarkan mengendali
perahu layar.
RUJUKAN : 230912/02
ARTIKEL : PK Mohamad Saipul bin Nasin/PW I
KOM(I) Samsuri
JURUGAMBAR : PK Ernie Jaitue/PW I KOM(I)
Samsuri